Tuesday, September 12, 2006

Anak Penggali Kubur

Cuti panjang hujung tahun
“Elok juga setengah bulan berpuasa, cuti persekolahan,” kata Mak Munah memerhatikan Pak Hamid mengopek kelapa tua. “Dapatlah mereka menghabiskan bulan ramadhan dengan lebih selesa waktu cuti ini.”
“Nabi dan sahabat-sahabat pernah berpuasa ketika di dalam peperangan. Mereka cuma pergi dan balik ke sekolah.”
“Itu lainlah halnya. Anak-anak kita ini masih kecil lagi. Apabila berpuasa di waktu cuti sekolah tentu mereka lebih bertenaga.”
“Sebab itulah kita latih anak-anak berpuasa sejak kecil lagi supaya mereka dapat bertahan penat, lapar, haus berjalan kaki pergi dan balik ke sekolah.”
“Ya. Saya sangat berbangga dengan anak-anak kita. Mereka tidak pernah merungut dan akur sahaja dengan kata-kata kita,” Mak Munah berkata dengan perlahan. “Kadang-kadang saya kasihan melihat mereka.”
“Mereka faham kita berikan apa yang terbaik yang kita mampu.”
“Awak lihatlah siapa kawan-kawan Amir dan Salmi....mereka tidak ada kawan.”
“Tidak mengapalah. Biar kita sahaja menjadi kawan-kawan mereka berdua.”
“Kata mereka, semua kawan-kawan di sekolah tidak mahu berkawan dengan mereka sebab mereka anak penggali kubur.”
Pak Hamid hanya tersenyum tawar. Dia memang maklum hal itu. Amir dan Salmi juga pernah menangis berceritakan hal itu suatu ketika dahulu. “Asalkan mereka tidak lemah kerana tidak ada kawan lalu tidak mahu ke sekolah sudahlah! Perasaan dan hati mereka kenalah dijaga. Mereka banyak menyimpan rasa.”
“Ya. Itulah doa saya supaya anak-anak kita tabah dan cekal untuk terus bersekolah.”
“Lagi pun buka tahun baru nanti, Amir akan masuk ke darjah enam,” tambah Pak Hamid. “Ada peperiksaan besar untuk naik ke sekolah menengah.”
“Ya. Saya tahu itu. Kata Amir selepas raya, sekolah akan adakan kelas tambahan setiap hari.”
“Baguslah kalau begitu. Tidaklah terbuang masa begitu sahaja sepanjang cuti sekolah nanti.”
Sabut kelapa tua yang sudah dikopek dikumpulkan oleh Mak Munah ke dalam satu bakul lain. Ia akan dijual kepada seorang peraih. Sabut-sabut itu akan dijual ke kilang yang akan membuat alas kaki manakala kepingan kelapa tua yang siap dikopek dimasukkan ke dalam sebuah bakul lain. Pekerja tok penghulu Simpang Satu akan datang mengambilnya. Walaupun upahnya hanya beberapa sen sebiji, cukuplah untuk membeli beras dan minyak tanah bagi kegunaan beberapa hari.
“Apa juadah berbuka puasa kita petang ini?”
“Saya rebus pisang. Kurma yang tok penghulu bagi tempoh hari pun masih ada lagi.”
“Itu pun mereka berdua sudah pulang!” kata Pak Hamid memerhatikan Amir dan Salmi melangkah tidak sepantas hari-hari biasa. “Lihatlah betapa longlainya langkah mereka.”
“Tengah hari begini memang meletihkan berjalan kaki pula.”
Kedua beradik mengucapkan salam kepada kedua ibu bapa mereka yang duduk di bangku tepi pondok.
“Berehatlah....” kata Mak Munah lalu mengikut anak-anaknya masuk ke pondok.
“Hari ini hari terakhir bersekolah. Kami akan bercuti panjang!” jerit Salmi sambil tersengih lalu menghumbankan badannya ke tilam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home