Friday, July 21, 2006

Seekor kucing malang


“Meow...Meow...meow...” bunyi kucing peliharaan seorang perempuan tua di hujung sebuah kampung.
Bunyi rintihan sayu kucing peliharaan itu sungguh menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Badannya sungguh kurus sehingga kelihatan tulang rangkanya. Ketika itu, hari semakin gelap. Kucing yang kurus kering itu mengiau lemah di tepi pintu menahan sejuk yang mencengkam sehingga ke tulang. Siang tadi ia dipukul teruk oleh tuannya, seorang perempuan tua yang bengis dan garang.
“Jangan kamu berbunyi lagi. Tidur sahaja di situ!” jerit perempuan tua ketika menjenguk ke pintu sambil di tangannya memegang sebatang kayu panjang yang selalu digunakan setiap kali memukul kucingnya.
Kucing malang itu segera terdiam apabila dibentak dan ditunjukkan kayu panjang yang siang tadi dirasai pukulannya.
“Bagus! Sekarang kamu faham apa yang saya katakan!”
Pintu rumah ditutup semula dengan kuat dan tinggallah kucing malang kesejukkan di luar rumah tanpa berani mengiau lagi. Ia merengkok menahan sejuk dan memejamkan matanya. Seorang jiran memerhatikan keadaan kucing malang itu hampir setiap hari tidak lagi sanggup membiarkannya terus menjadi mangsa tuannya melepaskan geram. Jiran yang baik hati itu mendekati rumah perempuan tua dan mengambil kucing malang lalu dibawa pulang ke rumahnya.
“Meow...Meow...meow...” berbunyi kucing malang sebaik sahaja berada di dalam pelukan jirannya.
“Saya akan berikan kamu susu. Minumlah sehingga kamu kenyang!” kata jiran yang baik hati itu sebaik sahaja masuk ke rumahnya.
“Meow...”
Dia segera ke dapur dan menghidangkan semangkuk susu untuk tetamunya. “Minumlah!” katanya sambil mengusap-usap belakang kucing malang yang kurus kering itu.
Sekejap sahaja licinlah mangkuk yang penuh berisi susu dijilat oleh kucing malang. Ia merengkok kembali di tepi badan jiran yang baik hati itu lalu tertidur.
“Saya sungguh kasihan melihat kamu dipukul setiap hari tetapi apa daya saya untuk menahan perbuatan tuan kamu yang kejam itu.”
Keesokkan harinya, perempuan tua itu terkejut apabila kucingnya tiada di depan pintu. “Siapakah yang mencuri kucing saya?”
Perempuan tua itu menjerit-jerit menuduh jiran-jiran yang lalu lalang di hadapan rumahnya sebagai pencuri. “Kamu mencuri kucing saya!”
Jiran yang baik hati tiada pilihan selain menyerahkan kembali kucing malang ke tangan tuannya. Sebelum menyerahkan semula dia meminta perempuan tua itu berjanji, “Berjanjilah! Awak tidak akan memukulnya lagi!”
Perempuan tua itu terpaksa bersetuju dengan syarat jirannya. Dia berbuat begitu supaya kucingnya dipulangkan. Sebaik sahaja kucing itu diserahkan kepadanya, dia segera masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.
“Saya berharap dia akan berpegang kepada janjinya!” kata jiran yang baik hati sendirian.
Sebentar kemudian kedengaran bunyi kucing mengiau dengan kuat diikuti dengan bunyi pukulan.
“Oh! Dia tidak menepati janjinya! Dia masih memukul kucingnya!” kata jiran yang baik hati sambil mengalirkan air mata.
Selang beberapa hari, tiada kedengaran lagi bunyi mengiau kucing dari rumah perempuan tua itu. Jiran yang baik hati tidak senang duduk dan sering tertanya-tanya apakah nasib kucing malang. “Apakah yang terjadi kepada kucing itu?”
Rupa-rupanya kucing malang mati akibat dipukul teruk oleh tuannya. Perbuatan kejam perempuan tua itu mendapat murka Allah swt sehingga tidak diampunkan dosa-dosanya.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

I have been looking for sites like this for a long time. Thank you! film editing classes

7:02 AM

 

Post a Comment

<< Home